IHSAN Polis Diraja Malaysia
Abnor Hamizam Abd Manap


BAYI perempuan maut manakala ibu bapanya cedera selepas terbabit kemalangan di Kilometer 3 Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah, dekat Bandar Seri Jempol.

Nur Sumayyah Firdaus, tujuh minggu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol manakala Firdaus Jamaluddin, 29, dan Siti Anisah Muhd Hassan, 27, cedera serta masih menerima rawatan di hospital sama.

Perodua Myvi dinaiki tiga beranak terbabit bertembung dengan Proton Saga dinaiki dua beranak, pada kejadian 2.15 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan, berkata kemalangan apabila Proton Saga dari arah Batu Kikir ke Bandar Seri Jempol memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Kemalangan itu menyebabkan tiga beranak terbabit cedera dan dikejarkan ke Hospital Jempol.

"Bagaimanapun, bayi perempuan mereka disahkan meninggal dunia pada 7.25 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 11:04 AM