Jamil Khir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah haji terakhir ke Tanah Suci di KLIA. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani. FOTO Abdul Rahim Rahmat
Siti A'isyah Sukaimi


MALAYSIA berharap pelaksanaan program pra pelepasan untuk imbasan awal jemaah haji Malaysia tidak hanya dibuat pada musim haji, malah turut dilaksanakan bagi ibadah umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, melalui program rintis itu, ia memudahkan jemaah haji Malaysia apabila diberikan laluan khas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi kerana pemeriksaan dokumen perjalanan sudah dibuat awal di Malaysia.

"Justeru, model ini menjadi tanda aras terhadap keberkesanan.

"Pada masa sama, ada juga pandangan yang diterima supaya sistem ini turut dilaksanakan untuk musim umrah bagi memudahkan jemaah Malaysia," katanya kepada media selepas menghadiri pelepasan penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Seramai 475 jemaah haji terakhir berlepas melalui penerbangan Malaysia Airlines MH8004.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan pelaksanaan program rintis itu adalah kerana sistem digunakan di Malaysia serta yang dibangunkan di Arab Saudi sepadan dan tidak semua negara mempunyai sistem sama.

"Kita berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang dan dibuat secara menyeluruh bagi memudahkan jemaah," katanya.

Malaysia negara pertama melaksanakan projek rintis pelaksanaan proses imbasan awal kepada jemaah haji di KLIA yang dimulakan pada 24 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dilaporkan berkata, menerusi pelaksanaan projek itu, pemeriksaan imigresen Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia dilakukan di KLIA serta tidak perlu dibuat di Arab Saudi.

Selain itu, Jamil Khir berkata, semua isu kelewatan visa membabitkan jemaah haji di negara ini berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, penerbangan terakhir itu akan melengkapkan jumlah seramai 30,200 jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pihak tidak mempercayai mesej tular dalam media sosial kononnya tarikh Hari Wukuf adalah pada Jumaat ini.

"Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah atau Khamis ini dan sambutan Aidiladha pada 10 Zulhijjah iaitu hari Jumaat.

"Mesej tular ini mengatakan musim haji kali ini adalah Hari Akbar tetapi ia tidak benar kerana Hari Wukuf jatuh pada Khamis dan bukannya Jumaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 8:18 PM