Sebahagian peserta menjayakan kempen program membudayakan al-Quran, Merdeka dan World #QuranHour, di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Aim Hussein


JOHOR negeri pertama memulakan program membudayakan al-Quran, Merdeka #QuranHour dan World #QuranHour dengan menampilkan slot tadabbur dan tazakkur sebagai kelainan.

Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Shamsudin Ismail berkata, slot itu menyaksikan enam qari seluruh Johor membaca dan menyampaikan maksud ayat dalam enam bahagian surah Yaasin secara lebih mendalam untuk dijadikan peringatan.

Beliau berkata, slot itu dilaksanakan terlebih dulu sebelum bermulanya program World #QuranHour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, esok.

“Johor menjadi negeri pertama yang mengadakan program Merdeka #QuranHour dan World #QuranHour berikutan pada setiap tahun, negeri ini akan mengadakan tahlil serta bacaan Yaasin pada malam kemerdekaan.

"Merdeka #QuranHour dan World #QuranHour yang dianjurkan pada 9 Zulhijjah sempena waktu wukuf di Arafah pula kebetulan jatuh pada malam ini yang juga malam ambang merdeka dan di Johor sudah menjadi amalan di semua masjid dan surau membacakan tahlil serta surah Yasin," katanya.

Shamsudin berkata, slot tadabbur dan tazakkur turut menampilkan penceramah agama yang juga Ikon Belia Johor, Halim Hafidz.

"Selepas solat Isyak, muslimin dan muslimat yang hadir akan dapat menyaksikan tayangan rakaman audio visual mengenai pemaknaan tawaf," katanya.


Ikon Belia Johor, Ustaz Halim Hafidz.

Merdeka #QuranHour dan World #QuranHour diadakan secara serentak di seluruh dunia dan negara, esok.

Pada program itu, lebih 1,500 peserta terdiri daripada orang ramai dan masyarakat setempat di Johor Bahru, memeriahkan program berkenaan.

Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu mendapat kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bersama Rumah Ngaji Johor dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 11:08 PM