KANG (tengah) menunjukkan ganja seberat 24 kilogram yang dirampas dalam serbuan di tiga kawasan.
Nurul Hidayah Baharudin


Kuala Lumpur: Angka menggusarkan apabila seramai 113,039 individu kebanyakannya pengedar dan penagih dadah ditahan di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Kang Chez Chiang berkata, perangkaan dikumpulkan pihaknya mendapati seramai 108,027 individu ditahan membabitkan warga tempatan manakala 5,012 individu lagi adalah warga asing.

“Daripada jumlah itu, seramai 16,351 individu ditahan kerana kesalahan mengedar dadah, 37,628 individu pula memiliki dadah dan 59,060 individu adalah penagih dadah.

“Penahanan itu membawa kepada nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM123 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 17 Ogos lalu,” katanya.

Kang berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah sepanjang tempoh terbabit yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu dadah jenis sintetik dan tradisional.

“Bagi dadah jenis sintetik, sebanyak 905.32 kilogram (kg) syabu dirampas, ketamin (111.16 kg), ekstasi (116,303 pil), yaba (814,168 pil) dan Eramin 5 (2,658,886 pil).

“Dadah jenis tradisional pula membabitkan ganja dirampas seberat 960.18 kilogram, manakala heroin pula sebanyak 327.39 kilogram dirampas pihak polis dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan semua individu berkenaan membawa kepada sitaan pelbagai harta bernilai RM85.56 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 4:50 AM