JENAZAH Jamilulehsan disembahyangkan di rumah keluarganya di RPT Pengkalan Pegoh Seberang.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pesakit hati kronik Biliary Atresia, Muhd Aril Zafran, 3, yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai akibat penderitaannya yang memerlukan sumbangan ramai bagi menjalani pembedahan pemindahan hati di Shanghai, China pada 2015, sekali lagi menghadapi dugaan apabila bapanya meninggal dunia tengah malam kelmarin akibat ketumbuhan dalam usus.

Jamilulehsan Mohd Taridi, 30, menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarganya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Pengkalan Pegoh Seberang, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Station 18, Pengkalan Pegoh, di sini, jam 10.50 pagi semalam.

Ibu Aril, Nur Amirah Syazwani Pandi, 24, berkata suaminya baru saja dibawa pulang ke rumah daripada menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada malam berkenaan dan menghembuskan nafas terakhir setengah jam selepas tiba di rumah.

“Kami menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi berikutan keadaan arwah suami begitu lemah selepas kimoterapi.

“Tetapi, beberapa hari sebelum ini sehingga malam tadi (kelmarin), dia langsung tidak memberi maklum balas dan kami membuat keputusan untuk membawanya pulang ke rumah,” katanya.

Nur Amirah berkata, arwah sempat berjumpa dengan anaknya Aril buat kali terakhir di hospital beberapa hari lalu dan menunjukkan perlakuan berbeza seolah-olah menjadi petanda kepada pemergian suaminya.

Suasana sayu dan sebak seketika apabila Aril tiba-tiba memanggil ayahnya sebaik jenazah dibawa oleh van keluar daripada pekarangan rumah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penderitaan Aril yang mengundang simpati pelbagai pihak untuk menyalurkan sumbangan sehingga mengumpul dana bagi membolehkannya menjalani pembedahan pemindahan hati di Shanghai dengan kos RM130,000.

Nur Amirah bersama Aril dan suaminya ke Shanghai 12 Mac 2015 dan Aril dimasukkan ke Hospital Shanghai Jiao Tong University School of Medicine Renji bagi menjalani pemeriksaan awal.

Pemindahan hati ketika itu bagaimanapun ditangguhkan bagi menunggu penderma hati yang baru berikutan keadaan penderma yang juga bapa bayi itu didapati menghidap ketumbuhan dalam usus.

Jamilulehsan tidak boleh menjadi penderma kerana menghidap ketumbuhan dalam usus yang dikesan ketika prosedur pemindahan hati ingin dilakukan, namun bapa saudara Aril bersetuju menjadi penderma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 4:55 AM