SUSPEK yang ditahan ketika cuba meragut seorang lelaki di Setapak.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dosa dibalas serta- merta apabila dua penjenayah dibelasah orang ramai hingga patah tulang selepas cubaan mereka meragut seorang lelaki di depan sebuah kedai di Setapak di sini, gagal.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian jam 8.10 pagi semalam, mangsa berusia 34 tahun berjalan berseorangan di depan sebuah kedai sebelum dihampiri tiga lelaki menunggang motosikal berasingan.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek bersenjatakan parang turun dari motosikal dan terus meragut beg silang mangsa.

“Mangsa cuba mempertahankan begnya daripada diragut dan ketika pergelutan berlaku, dia sempat menjerit meminta bantuan.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri selepas jeritan mangsa disedari orang awam berhampiran kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek terbabit bagaimanapun ditangkap orang ramai sebelum dibelasah.

Roy berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi kejadian, polis mendapati kedua-dua suspek berada dalam tahanan orang awam dan mengalami kecederaan.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Suspek pertama ditahan di wad akibat patah pergelangan tangan kanan, patah tulang siku tangan kiri dan lebam mata kiri akibat dibelasah manakala rakannya hanya cedera ringan. Seorang lagi rakan suspek dengan panggilan Udin berjaya melarikan diri.

“Polis turut merampas dua motosikal yang digunakan suspek dan sebilah parang,” katanya.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan rakannya, mempunyai tiga rekod kesalahan sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 4:54 AM