AHMAD Zaini (tengah) bersama penerima sumbangan sempena Program Semarak Korban, semalam.
HM Digital

Tanjung Karang: Selepas kejayaan dua program Semarak Korban, kumpulan BIMB Holdings Berhad (BHB) semalam meneruskan kerjasama dengan Berita Harian (BH) menganjurkan Program Semarak Korban di Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, di sini.

Kampung itu terpilih bagi meraikan sambutan Aidiladha bersama penduduk setempat terutama masyarakat Jawa.

Ketua Pegawai Syariah Kumpulan BHB, Mohd Nazri Chik berkata, dua lembu disumbangkan kepada penduduk kampung selain sumbangan seekor lembu oleh penduduk bagi program sama.

“BIMB Holdings Berhad menaja sebanyak RM53,000 kepada BH bagi penganjuran program ini dan tambahan RM30,000 bagi kos pelaksanaannya.

“Selain itu, kami dan Bank Islam menyerahkan sumbangan RM7,400 untuk diagihkan kepada penerima asnaf, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Kata Mohd Nazri, selain kampung itu, program turut dijalankan di Tanjung Karang, Kuala Rompin, Pahang; Bintulu, Sarawak; Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Klinik Cure & Care di Tampoi, Johor Bahru.

Setiap lokasi menerima sumbangan antara dua hingga tiga lembu.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, selain menghimpunkan penduduk Kampung Sungai Kajang Baru untuk bergotong-royong menjayakan program korban dan menyemarakkan syiar Islam, kerjasama itu sekali gus merapatkan silaturahim antara penduduk kampung dengan pihak swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:12 AM