SEMUA mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat. FOTO ihsan bomba
Nasrawati Syarifuddin


SEKUMPULAN pendaki termasuk dua perempuan yang dilaporkan sesat ketika mendaki hutan Bukit Akar, Tinagat, Tawau, ditemui selamat, malam tadi.

Semua mangsa yang berusia 19 hingga 27 itu dipercayai mula mendaki kira-kira 5 petang bersama lima lagi rakan mereka.

Bagaimanapun lima rakannya berjaya menemui jalan keluar manakala enam tersesat sebelum rakan lain meminta bantuan dari bomba pada 7.09 malam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad berkata, operasi dimulakan 7.50 malam selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Dua pasukan penyelamat dianggotai oleh pasukan bomba, orang awam dan pekerja penjaga kawasan hutan Bukit Akar dikerah untuk operasi mencari dan menyelamat semua mangsa.

"Pada 9.06 malam, semua mangsa ditemui dan dibawa turun pada 9.56 malam dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Faisal, operasi tamat pada 10.18 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 11:48 AM