Kalidevi Mogan Kumarappa


KEJADIAN letupan molotov cocktail di pusat hiburan di Kota Damansara tiada kaitan dengan ancaman militan atau Daesh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian itu kemungkinan berpunca daripada peras ugut membabitkan perniagaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan yang membaling dua botol plastik berisi petrol yang dililit dengan mercun itu.

"Hanya satu botol itu yang meletup dan mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh melecur di kepala dan tangan manakala yang lain selamat kerana berada di dalam premis.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), nombor pendaftaran kereta Audi hitam dinaiki supek dapat dilihat, " katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek meletakkan kereta mereka di tingkat bawah bangunan lima tingkat sebelum naik ke premis di tingkat satu menerusi tangga sisi sebelum melempar molotov cocktail di hadapan premis berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, Seksyen 435 kanun sama atas kesalahan khianat dengan api dan peras ugut.

"Kami tidak akan berkompromi dengan kegiatan gengsterisme dan mengugut peniaga di sekitar kawasan ini, " katanya.

Berita berkaitan:

Pusat hiburan dibaling molotov cocktail

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 8:38 PM
Digital NSTP Subscribe