GAMBAR Aung San Suu Kyi bersama pingat Anugerah Nobel kelihatan pada demonstrasi di Kolkata, India, 4 September lalu bagi membantah tindakan terhadap Rohingya di Myanmar. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan kempen mengumpul 1,000 tandatangan untuk menuntut Anugerah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi ditarik balik.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tandatangan itu akan diminta daripada ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, tokoh masyarakat, ahli profesional dan pemimpin agama.

Katanya, ia susulan tindakan pemimpin itu menafikan pemusnahan etnik berlaku di Rakhine serta menyokong tindakan ganas ke atas Rohingya.

Katanya, Suu Kyi menunjukkan dirinya bersetuju dengan apa yang berlaku dan memperakui penggunaan nama Rohingya sebagai panggilan yang ditolak di Myanmar.

"MAPIM berpandangan bahawa Aung San Suu Kyi telah mengkhianati erti anugerah Keamanan Nobel. Oleh itu beliau tidak layak memegang anugerah itu dan ia perlu dilucut serta merta.

"Kita menggesa semua pihak yang mempunyai rasa perikemanusiaan terutama tokoh masyarakat di Malaysia perlu bersama menyokong petisyen yang akan dihantar MAPIM kepada Jawatankuasa Keamanan Nobel di Sweden untuk melucut anugerah itu daripada Aung San Suu Kyi.

“Kita sasarkan kempen kumpul tandatangan ini dapat dicapai pada hujung Oktober ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 11:23 AM