X
NAZILI (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Norazini (tiga dari kanan).
NAZILI (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Norazini (tiga dari kanan).
Muhamaad Razis Ismail


Bachok: Gelaran Wanita Besi sesuai diberikan kepada anggota bomba wanita ini yang bukan hanya tangkas malah mampu melakukan kerja penyelamatan yang lasak seperti mana anggota lelaki.

Malah, Norazini Che Wil, 34, yang mempunyai tiga anak dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa mampu berlari sejauh 13 kilometer (km) dengan membawa beban lima kilogram dalam tempoh sejam.

Katanya, keupayaan fizikal itu diperoleh hasil kerja kerasnya sejak berada di bangku sekolah lagi.

Dia cukup meminati aktiviti lasak dan itu juga mendorongnya memilih kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat sejak 11 tahun lalu.

“Saya memang seorang yang tidak boleh duduk diam dan sangat meminati aktiviti lasak sejak sekolah lagi. Saya amalkan berjoging dan bersenam selama dua jam, setiap hari untuk mengekalkan stamina.

“Pada masa sama, saya menjaga pemakanan termasuk mengelak minum minuman berais dan makanan berminyak.

“Alhamdulillah, amalan itu menjadikan saya cergas dan mampu menjalankan tugas setanding anggota bomba lelaki,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyerahan Bendera Kontinjen Kawad Kecekapan 2017 di BBP Bachok di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Nazili Mahmood yang merasmikan majlis dan Timbalan Pengarah JBPM Kelantan Anwar Abu Bakar.

Berikutan kebolehan yang dimiliki, Norazini menjadi satu-satunya anggota bomba wanita Kelantan yang mewakili negeri ini ke Pertandingan Kawad Kecekapan 2017 Peringkat Kebangsaan di Terengganu pada 10 hingga 15 September ini.

Dalam pertandingan itu, Norazini akan menyertai tiga acara iaitu kawad kaki, ‘table top’ (perancangan operasi) dan ‘firefighter challenge’ (cabaran anggota bomba).

Menurutnya, dia menyertai pertandingan itu buat kali keempat sejak 2014 dan mengakui sangat menguji kekuatan fizikal dan mentalnya.

“Saya fikir tiada yang mustahil dan biarpun memiliki kekuatan tidak sehebat anggota lelaki, saya mahu buktikan bahawa wanita juga mampu lakukan semua perkara seperti mereka.

“Dan untuk kali ini, saya mencabar diri menyertai tiga acara yang dipertandingkan dan antara acara paling mencabar adalah ‘firefighter challenge’ yang memerlukan berlari sejauh 13KM dengan membawa hos, tangga dan kemudian menjalankan operasi pemadaman,” katanya.

Norazini berkata, sebagai persediaan, dia bersama 54 anggota dari BBP seluruh Kelantan yang terbabit dalam pertandingan itu menjalani latihan insentif selama sebulan di BBP Bachok.

“Insya-Allah melalui latihan ini, kami akan buat terbaik demi bomba Kontinjen Kelantan ,” katanya.

Keterangan gambar:

NORAZINI ketika melakukan demonstrasi kawad kaki di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 6:06 AM