AZIZ bersama ahli kariah menghantar surat bantahan perobohan madrasah.
Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: “Sudah 35 tahun kami beribadat di Madrasah Tarbiyah, Cheras, namun segalanya berubah apabila mendapat tahu ia akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan bercampur termasuk kondominium, awal Mei lalu,” kata Pengerusinya, Aziz Abdul Wahab, kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, lebih terkilan apabila maklumat itu hanya dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi notis yang ditampal di bangunan madrasah.

“Ternyata ia mengejutkan semua pihak apatah lagi tapak berkenaan sudah dijual kepada pihak pemaju tanpa ada sebarang makluman awal kepada penduduk setempat.

“Kami sedar, madrasah itu dibina di atas tapak tanah milik DBKL dan DBKL berhak menjualnya, namun, ini membabitkan rumah ibadat yang menjadi kegunaan penduduk setempat sejak 35 tahun lalu khususnya Perumahan Awam Flat Seri Sabah,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, Aziz, bersama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak, Abu Hassan Shaari Teop dan beberapa ahli kariah madrasah hadir ke Menara DBKL, Jalan Tun Razak bagi mengemukakan bantahan kepada DBKL.

Abu Hassan berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas tiga bantahan (bersurat) sebelum ini tidak mendapat maklum balas.

“Sebenarnya ada tiga pihak mengemukakan bantahan perobohan madrasah itu termasuk UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang dikemukakan secara bertulis kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) bermula akhir Mei lalu.

“Bagaimanapun, apabila merujuk semula ke PTGWPKL, kami difahamkan semula bantahan itu ditarik semula oleh ‘pengadu’ menyebabkan tiada bantahan diterima sehingga sekarang,” katanya.

Tambah Abu Hassan keadaan itu cukup menghairankan kerana ahli kariah madrasah tidak pernah bertindak demikian.

“Apabila saya meminta PTGWPKL mengemukakan nama individu yang bertanggungjawab menarik semula surat bantahan, mereka enggan memberi kerjasama.

“Kami bukan hendak membantah pembangunan yang ada, sebaliknya DBKL dan PTGWPKL juga perlu mengambil kira status madrasah sebagai tempat ibadat, bukan rumah setinggan mahupun gerai haram yang boleh dirobohkan sewenangnya,” katanya.

Tambahnya, memang DBKL menyediakan lokasi lain sebagai tapak ganti madrasah, namun ia tidak sesuai kerana di kawasan berbukit selain kesukaran akses keluar masuk dari kawasan berkenaan.

“Hasil pertemuan hari ini (semalam) pegawai DBKL bersetuju untuk turun padang memberi penerangan kepada penduduk mengenai pelan pembangunan yang hendak dilakukan.

“Selain itu, saya berharap DBKL mendengar sendiri apa yang penduduk mahukan dan mengambil kira pertimbangan sewajarnya membabitkan rumah ibadat orang Islam di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:59 AM