Mastura (kiri) menyampaikan replika cek kepada pemenang hadiah utama, Muhammad Salahuddin (dua dari kanan) sambil diperhatikan bapanya, Mohd Ashik Abdullah (kanan) dan ibu, Nurmahayu Idrus.


Shah Alam: Seorang juruterbang tidak menyangka amalan menabung pada setiap dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) untuk anak tunggalnya melayakkannya memenangi hadiah berjumlah RM10,000, semalam.

Tabungan yang dibuat Mohd Ashik Abdullah, 42, hasil kesedaran mengenai kepentingan amalan menabung bagi pendidikan masa depan anak lelakinya.

Menurut Mohd Ashik, dia tidak menyangka memenangi hadiah cabutan bulanan sempena Cabutan Wow! 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, sekali gus bersyukur wang simpanan untuk pendidikan anaknya bertambah.

“Saya berterima kasih dan bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang dalam cabutan bulan Julai 2017 bagi Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN ini. Saya mula membuka akaun SSPN-i untuk anak (Muhammad Salahuddin, 7) pada Mei tahun lalu.

“Amalan menabung untuk pendidikan amat penting kerana kos pendidikan semakin meningkat. Walaupun sedikit, tetapi ia amat perlu kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah cabutan itu di Sekolah Kebangsaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid, Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN Negeri, Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Manaf Md Zaid dan Guru Besarnya, Ranizam Yusof.

Muhammad Salahuddin berkata, dia gembira selain turut bersyukur apabila diumumkan memenangi cabutan berkenaan.

“Alhamdulillah, wang (kemenangan) itu boleh disimpan untuk merealisasikan cita-cita melanjutkan pelajaran di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Mastura berkata, semua pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus yang membuka akaun atau menambah simpanan layak mendapat peluang dalam cabutan berkenaan.

“Pendeposit SSPN-i Plus layak memenangi hadiah utama Cabutan Istimewa RM100,000. Manakala pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus yang mempunyai anak di Tahun Satu pada tahun ini juga layak memenangi Cabutan Bulanan sebanyak RM10,000 setiap bulan,” katanya.

Katanya, bermula Januari lalu, ibu bapa yang membuat simpanan untuk anak mereka yang juga murid tahun satu sekolah bantuan penuh kerajaan akan menerima tambahan keistimewaan iaitu simpanan percuma bernilai RM50 seperti yang diumumkan pada Bajet 2017.

“Peruntukan berjumlah RM25 juta sudah disediakan untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang layak.

“Mereka yang mahu insentif itu tidak perlu memohon, sebaliknya hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan SSPN-i/SSPN-i Plus pada tahun ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Cabutan WOW! 20 Tahun PTPTN atau mahu membuka akaun simpanan SSPN boleh berbuat demikian dengan melayari www.lovesspn.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 8:51 AM