RAKAMAN CCTV samun bersenjata di kedai makan. Gambar kanan, tangan mangsa cedera akibat dilibas parang.
Nadzreen Shah Mat Salim


Sentul: “Perompak berlari ke kaunter sambil menjerit duit! duit! duit! sebelum melibas parang dan mencederakan tangan pekerja yang cuba menepis serangan itu,” kata saksi kejadian samun bersenjata di kedai makan di Taman Dato Senu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, enam suspek menaiki tiga motosikal meluru masuk ke dalam premis bersenjatakan parang panjang.

Menurutnya, rompakan berlaku ketika pekerja kedai membersihkan kedai untuk ditutup.

“Kami (pekerja) terkejut dan berlari menyelamatkan diri manakala mangsa terkaku dengan kejadian itu.

“Mereka berlari ke arah mangsa sambil melibas parang. Mangsa hanya mampu menepis dan cedera pada tangan kiri,” katanya.

Dia berkata, penjenayah itu melarikan diri dan wang RM300 hasil keuntungan berniaga pada hari kejadian.

“Kejadian berlaku pantas sebelum suspek melarikan diri.

Mangsa menerima 25 jahitan pada tangan kirinya akibat kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 7:42 AM