IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


LORI tangki membawa muatan bahan kimia mengalami kebocoran dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Cheras, di Jalan Yaacob Latif, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 pagi.

Menurutnya, 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP KLCC digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kami mendapati lori tangki membawa muatan bahan kimia mudah terbakar iaitu ‘xylene’ mengalami kebocoran. Bagaimanapun, kebocoran hanya sedikit.

"Kami mengambil langkah awal dengan mengawal lalu-lintas dan menutup laluan bersama polis. Lori kemudian dialihkan di kawasan selamat sementara menunggu pihak syarikat menghantar lori tangki yang lain untuk pemindahan," katanya.

Zamani berkata, penutupan laluan itu tidak menjejaskan pergerakan kenderaan lain yang melalui kawasan berkenaan.

"Keadaan di lokasi kejadian dalam keadaan terkawal dan pakar dari syarikat terbabit hadir bagi membuat kerja penampalan kebocoran.

"Kerja pembersihan dijalankan sebaik penampalan kebocoran selesai dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 10:35 AM