Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


PEMANDU teksi cedera di kaki dan tangan selepas bergelut dengan penyamun yang mencuri telefon bimbitnya ketika dia memandu dalam keadaan tingkap kereta tempat duduk pemandu terbuka di Jalan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, semalam.

 Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian 3.45 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR di tepi teksinya.

Katanya, seorang daripada mereka merampas telefon bimbit yang diletakkan di tempat letak telefon di cermin depan teksi dan melarikan diri.

“Mangsa mengejar suspek bagi mendapatkan semula telefon bimbit Samsung Note 5 miliknya.

"Setibanya di hadapan restoran makanan segera, mangsa melanggar motosikal yang ditunggang dua lelaki berkenaan menyebabkan mereka jatuh," katanya.

Menurutnya, mangsa menghampiri suspek, dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Orang awam membantu mangsa dan seorang daripada suspek, iaitu lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditangkap dan mangsa berjaya mendapatkan semula telefon bimbitnya.

"Seorang lagi suspek melarikan diri. Hasil penahanan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Tun Hussein Onn dan pemeriksaan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan seorang lagi suspek giat dijalankan.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 5:58 PM