MENTER Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


SEMUA masjid di Terengganu akan mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan masyarakat Rohingya yang dizalimi dan ditindas di Myanmar selepas solat Jumaat, lusa.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri juga akan melancarkan Tabung Khas Rohingya selain menyediakan Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) untuk membantu masyarakat berkenaan semampu mungkin.

"Dalam mesyuaray EXCO kerajaan negeri hari ini, kita bersetuju meminta semua masjid (di Terengganu) mengadakan solat hajat supaya rakan seagama, kaum Rohingya yang ditindas, dapat diselamatkan dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kita juga akan lancarkan Tabung Khas Rohingya dan menyediakan Sukarelawan TTB yang mana kita akan tengok keperluannya, kalau perlu dihantar ke Bangladesh, kita hantar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Wang Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu membabitkan Program Saintis Islam dan Program Berkembar Ke United Kingdom di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, seramai 500 orang siswazah menganggur dipilih menyertai Program Transformasi Lepasan Graduan Terengganu (TGTP) yang akan dilaksanakan bulan depan.

"Menerusi program ini, seramai 500 siswazah menganggur akan ditempatkan di pelbagai agensi selama enam bulan dan diberi elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

"Program ini dikendalikan oleh TESDEC (Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu) di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tranformasi kerajaan, A Latiff Awang.

"Kita juga dalam masa terdekat ini, akan melancarkan Program Sifar Lepasan Tingkatan Lima Tidak Ke Pusat Pengajian iaitu program di mana lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang tak dapat menyambung pelajaran, akan dihantar mengikuti program kemahiran di Kolej Universiti TATI (TATIUC), TESDEC dan TTIDC (Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 6:57 PM