TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) mengadakan Sidang Media, di Lapangan Terbang Sibu. FOTO Nadim Bokhari
Shamran Sarahan
shamss@hmetro.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka melawat Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat hari ini, selepas lawatan kerja beliau di Sibu, Sarawak.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga akanakan menyemak status maahad tahfiz itu dari pihak berkaitan bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan lanjut.

Menurutnya, mengikut semakan maahad tahfiz itu tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, justeru beliau akan membuat semakan sama ada ia berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, atau sebaliknya.

"Atau, mungkin (maahad tahfiz) itu berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dan juga Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA). Apa yang pasti, maahad tahfiz berkenaan dibiayai pihak swasta dan persendirian.

"Kita tidak akan berkomporomi dalam soal nyawa. Dalam mesyuarat koordinasi yang adakan sebelum ini bersama PINTA dengan pengendali maahad tahfiz di negara ini, kita mahu supaya sekolah (pondok) bukan hanya didaftarkan tetapi mesti mempunyai spesifikasi yang boleh memenuhi ciri keselamatan, termasuk mewujudkan bomba sukarela," katanya dalam satu sidang media di Bilik Kenamaan, Lapangan Terbang Sibu, hari ini.

Ahmad Zahid turut menzahirkan simpati beliau terhadap kejadian yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat sehingga menyebabkan 22 pelajar dan dua guru dilaporkan meninggal dunia dalam kebakaran itu.

"Ini bukan pertama kali berlaku dan kita amat prihatin. Hampir dalam tempoh dua dan tiga tahun pasti berlaku kebakaran seperti ini, atau keruntuhan stuktur bangunan yang tidak mengikut spesifikasi dan ciri keselamatan.

"Kerajaan ambil kepedulian dengan apa yang berlaku. Sebagai kerajaan kita tidak akan berkompromi jika ia membabitkan kehilangan nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 1:28 PM