Hamidin jelaskan terdapat sedikit kekeliruan. FOTO fail HM
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengarahkan Kuantan FA dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyerahkan afidavit kepada badan induk itu untuk tindakan susulan berhubung kegagalan Kuantan FA melunaskan gaji pemain mereka.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan terdapat sedikit kekeliruan mengenai laporan mendakwa kelab terbabit gagal membayar gaji pemain hampir 11 bulan sejak November, tahun lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal diperoleh daripada bahagian Undang-undang FAM, tunggakan gaji hanya empat ke lima bulan sahaja dan membabitkan empat pemain.

"Kita sudah minta kepada PFAM dan Kuantan FA untuk serahkan afidavit bagi tindakan susulan.

"FAM hanya akan bertindak berdasarkan aduan yang kita dapat daripada pemain serta PFAM," katanya ditemui pada sidang media pengumuman nama 10 pemain bola sepak pantai yang akan beraksi di Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa ke-2 di Busan, Korea Selatan, Isnin depan.

Menerusi laporan akhbar tempatan sebelum ini, Kuantan FA didakwa gagal membayar gaji hampir 11 bulan sekali gus mencipta rekod baru Liga Malaysia (Liga M) apabila menjadi pasukan pertama yang gagal melunaskan gaji pemain dalam tempoh lama.

Sumber Kuantan FA berkata, perkara itu sangat buruk apabila sesetengah pemain terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan.

Difahamkan, ada di antara pemain yang terpaksa bekerja sebagai posmen dan membuka kedai mencuci kereta.

Berita berkaitan:

Kuantan FA bayar 2 bulan dulu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:00 PM