Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


SUAMI isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan mencederakan pembantu rumah warga Fillipina, tahun lalu.

Mohamad Afzan Azemi, 35, dan isterinya, Norazni Razali, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu melakukan kesalahan di kediaman mereka di No 17, Jalan Elektron U16/23A, Seksyen U16, Shah Alam, antara 23 Januari hingga 31 Ogos lalu.

Kedua-duanya dituduh memperdagangkan Joraimie Garcia Torres, 31, dengan tujuan mengeksploitasi kerja secara paksa serta penggunaan kekerasan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 13(b) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta dibacakan bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, K Murali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:59 PM
SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah mendera seorang pembantu rumah warga Filipina. FOTO Muhammad Sulaiman