LANUN yang ditahan selepas merompak kapal tangki MT MGT1. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


REMAN lanun yang ditahan ketika merompak kapal tangki MT MGT1 di perairan Terengganu pada 7 September lalu disambung lagi selama tujuh hari sehingga 21 September depan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

Sebelum ini, perintah reman selama tujuh hari terhadap semua suspek termasuk lelaki berusia 59 tahun yang disyaki dalang aktiviti jenayah berkenaan tamat hari ini.

Semua suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu dengan dikawal ketat pasukan bersenjata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 10 pagi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kejayaan APMM menumpaskan kegiatan 13 lanun warga Indonesia yang melakukan rompakan ke atas sebuah kapal tangki di 37 batu nautika dari timur laut Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu.

Seramai 10 daripada suspek ditahan, bagaimanapun, tiga lagi meloloskan diri selepas Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM yang diterbangkan menggunakan AgustaWestland 139 (AW139) melepaskan beberapa das tembakan amaran dari udara selepas berjaya mengesan kedudukan kapal itu.

Susulan penahanan itu, PTK APMM menyerbu sebuah hotel di Johor Bahru pada 7 September lalu dan menahan warga Indonesia berusia 59 tahun dipercayai dalang utama rompakan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:46 PM