TERTUDUH dipenjara tujuh bulan di Mahkamah Majistret. FOTO Ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, terhadap tuduhan menolong menyembunyikan wang ke dalam akaun banknya, dua tahun lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Nor Zaidi Borhan, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menolong menyembunyikan atau memindahkan wang RM1,100 yang dimasukkan Mohamad Alif Mohd Zuki, 19, ke dalam akaun banknya di sebuah bank di Jalan Kebun Sultan di sini, pada jam 4.31 petang, 27 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 4:55 PM