A Latiff Awang (tengah) bersama peserta pertandingan pada majlis Perasmian Penutup Pertandingan Kawad Kecekapan Peringkat Kebangsaan Ke-19. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mendakwa hanya 47 daripada 200 pondok dan pusat tahfiz di negeri itu berada di bawah pengawasan dan pemantauannya manakala selebihnya beroperasi secara tidak sah.

Berikutan itu, JBPM Terengganu minta pihak pengurusan sekolah pondok dan tahfiz yang tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) agar segera mendaftarkan premis mereka bagi membolehkan pihaknya membuat pengawasan dan pemantauan.

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Nor berkata, semua sekolah pondok dan tahfiz yang sudah mendaftar itu dibekalkan dengan alat pemadam api.

"Selain alat pemadam api, kita juga memberi pendedahan kepada pelajar terbabit secara berkala bagaimana cara penggunaannya dan langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran," katanya selepas majlis perasmian penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Peringkat Kebangsaan Kali ke-19 JBPM 2017 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian kebakaran pusat tahfizDarul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis perasmian penutupan itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang.

Seramai 736 peserta mewakili setiap negeri ke pertandingan itu dan kontinjen Selangor merangkul tiga kejuaraan daripada sembilan acara yang dipertandingkan untuk muncul sebagai juara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 8:46 PM