Skip this ad x
GAMBAR hiasaan.


Kampung Telagus Legai, Serian diisytihar sebagai kawasan ke 25 jangkitan penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak termasuk 20 kawasan di Serian, empat di Kuching dan satu di Sri Aman.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan berkata, jangkitan rabies pada manusia mula dilaporkan di Sarawak pada Jun lalu, dan sehingga kini enam kes positif virus rabies telah dikesan, dengan lima daripada penghidapnya telah meninggal dunia.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak ingin mengingatkan orang ramai supaya memantau haiwan peliharaan mereka sama ada yang telah atau belum divaksin, daripada bercampur dengan haiwan terbiar.

“Perhatikan juga perubahan sikap daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah atau agresif,” katanya.

Dalam kenyataan terbabit, secara kumulatif, sehingga kini 36,895 ekor haiwan peliharaan yang terdiri daripada 28,988 ekor anjing, 7,862 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin, dan 41,927 survelan aktif serta 1,778 survelan pasif untuk mengawal penularan rabies telah dilakukan di kawasan-kawasan sekitar Serian, Kuching dan Sri Aman.

Media sebelum ini melaporkan proses penarikan balik pewartaan kawasan wabak rabies hanya akan dilakukan jika tiada sebarang kes tempatan dikesan pada mana-mana spesies haiwan atau manusia bagi tempoh dua tahun, kerana tempoh pengawasan serta kawalan di kawasan berkenaan mengambil masa agak lama bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada ancaman rabies.

Bagi sebarang laporan mengenai wabak rabies, hubungi Bilik Operasi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di talian 082443991 /446991 / 447960.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 9:26 PM