Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan (dua dari kiri) bersama anggota misi di KLIA sebelum berlepas ke bangladesh, malam ini. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohamad Shahril Badri Saali


MUSLIM Care Malaysia Society (Muslim Care) memulakan misi kemanusiaan ke Bangladesh hari ini, bagi membantu pelarian etnik Rohingya di sana.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan, berkata misi kemanusiaan kali kelima tahun ini itu bagi membantu etnik Rohingya merangkumi bekalan makanan, ubat-ubatan dan pam perigi yang semuanya bernilai RM120,000.

Menurutnya, 1,000 bungkusan bantuan akan disalurkan di kem pelarian sekitar Teknaf.

"Bantuan itu ialah beras, minyak masak, cili serta ubatan-ubatan

“Selain menyampaikan amanah sumbangan individu dan rakyat Malaysia, kami juga meninjau keperluan membina pusat bantuan perubatan sementara.

“Kami juga akan cuba menjalin hubungan baik dengan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana dalam usaha membantu pelarian terbabit,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas mengetuai misi ke Bangladesh itu, malam ini.

Seramai 10 sukarelawan termasuk petugas media dan pegawai perubatan menyertai misi yang dijadual sehingga Isnin ini.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank (564490413882) dan Bank Islam (14014010147470).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 11:22 PM