FENOMENA air pasang besar di Pantai Bagan Nakhoda Omar, di sini.
HM Digital

Sabak Bernam: Fenomena air pasang besar yang dijangka melanda beberapa kawasan rendah di daerah ini masih dalam keadaan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam Mohd Khairuddin Md Som berkata, paras air laut yang direkodkan semalam sedikit tinggi iaitu 3.2 meter berbanding 3.1 meter kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, limpahan air laut hanya berlaku di Ban Tebuk Mendeling tetapi didapati surut beberapa jam selepas itu.

“Air hanya melimpah di sekitar ban saja dan keadaan masih selamat serta terkawal,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, limpahan air laut itu berlaku pada jam 5 pagi semalam dan surut pada jam 6.30 pagi.

“Setakat ini, tiada kenaikan air melebihi paras biasa terutama di tiga kawasan berisiko iaitu Tebuk Mendeling, Sungai Air Tawar dan Sungai Panjang,” katanya.

Beliau berkata, tiga anggotanya yang membuat pemantauan di lokasi mendapati ban berada dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:17 AM