Anggota PPM Kota Kinabalu mengangkat mayat yang ditemui terapung di kawasan laut berhampiran Pelabuhan Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui terapung di laut berhampiran Pelabuhan Kota Kinabalu, pagi hari ini.

Mayat berusia 30-an yang lengkap berpakaian ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi Balai Polis Kota Kinabalu pada 6.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebaik menerima panggilan itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu diarah ke lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk proses pemeriksaan.

"Pemeriksaan dijalankan pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) dan mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh 12 jam," katanya hari ini.

Chandra berkata, pemeriksaan lanjut pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap tubuh mangsa di bahagian luar terdapat kesan luka dan pendarahan di pipi kiri namun tiada kecederaan lain.

"Mayat dihantar ke HQE 1 dan didapati luka dan calar pada tubuh mangsa dipercayai akibat bergesel dengan benda keras. Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika berada di dalam air," katanya.

Beliau berkata, mayat berada di Unit Forensik HQE 1.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 6:45 PM