Beckham berkunjung ke negara ini sempena siri jelajah AIA Healthy Living, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aziah Azmi
Beckham berkunjung ke negara ini sempena siri jelajah AIA Healthy Living, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aziah Azmi
Ardyhansah Amat

Lebih 2,000 orang tidak melepaskan peluang bertemu bintang dan ikon bola sepak antarabangsa David Beckham sempena siri jelajah AIA Healthy Living, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd Anusha Thavarajah berkata, Kuala Lumpur adalah destinasi terakhir Beckham yang juga duta program AIA Healthy Living di rantau Asia Pasifik selepas Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

"Bertemakan 'What's Your Why?' , pemilihan Beckham adalah tepat dalam memberi inspirasi kepada orang ramai khususnya rakyat Malaysia untuk menjaga kesihatan.

"Program ini turut menampilkan sebuah video yang akan memaparkan kisah peribadi Beckham dan beberapa individu dalam mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Sementara itu, Beckham ketika ditemui gembira kerana terpilih menyertai kempen kesihatan bersama AIA.

"Ketika ini, kehidupan orang ramai terlalu sibuk sehingga membataskan mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Saya berharap melalui kempen ini dapat membantu orang ramai dan keluarga mereka untuk terus menjaga kesihatan masing-masing bagi kesejahteraan bersama," katanya.

Terdahulu, Beckham meluangkan masa bertemu kanak-kanak penerima manfaat AIA Touching Lives; satu program tanggungjawab sosial korporat AIA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 7:17 PM