DUA pekerja resort diselamatkan anggota PPM Wilayah Dua Johor, kelmarin.
Johor Bahru

Empat anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menempuh ombak bergelora hampir sejam sebelum menyelamatkan dua pekerja syarikat resort di Port Dickson, Negeri Sembilan, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 2 Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, usaha membantu kedua-dua pekerja lelaki terbabit masing-masing rakyat tempatan dan Indonesia itu dilakukan sejurus pihaknya menerima aduan pada jam 4.15 petang.

Katanya, empat anggota yang menjalankan Ops Gelora dengan Bot Ronda PAC 30 bergegas ke lokasi bagi membantu operasi menyelamatkan dua pekerja resort di Port Dickson yang terkandas akibat kerosakkan bot.

“Ketika itu, anggota kami melakukan tugasan di perairan laut Pulau Arang dan membantu misi menyelamat sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan syarikat Admiral Cove (AMLC).

“Dalam laporan itu, dua pekerja resort berkenaan berada di laut Bagan Lalang kerana bot yang dibawa mereka rosak,” katanya ketika mengesahkan operasi SAR bot rosak di sempadan perairan Selangor itu.

Beliau berkata, ketua Bot Ronda PSC 30 memberi bantuan SAR, sebelum operasi tamat sebaik kedua-dua lelaki berkenaan ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 2:56 AM