PELARIAN di kem Teknaf.
ZULKIFLI (dua dari kanan) dan ahli misi bersama Mukassit (empat dari kiri) yang turut memberikan sokongan terhadap bantuan kemanusiaan Rohingya di Bangladesh di Lapangan Terbang Cox's Bazar.
Mohamad Shahril Badri Saali


Cox’s Bazar: Hari pertama rombongan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Bangladesh, bermula dengan pembukaan klinik mobil untuk merawat warga emas, wanita dan kanak-kanak yang berada di kem pelarian Teknaf.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, selain menyalurkan bantuan makanan, tujuan misi berkenaan adalah untuk menyantuni pelarian berkenaan dari aspek kesihatan.

“Kita sedar mereka ini hidup dalam serba kedaifan dan mengalami masalah kesihatan kerana tidak mendapat nutrien mencukupi, bekalan air bersih dan bekalan ubat.

“Atas sebab itu, kami mengambil inisiatif membuka klinik mobil untuk memberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada golongan itu.

“Dalam misi ini, kami bawakan pegawai perubatan bertauliah untuk menjalankan tugas ini dan beberapa jenis ubat-ubatan seperti demam dan cirit birit turut diedarkan kepada pelarian memerlukan,” katanya yang dalam perjalanan menuju ke kem berkenaan, petang semalam.

Katanya, pada masa sama sebanyak 500 bungkusan biskut dan air turut diagihkan semalam dan bantuan makanan keperluan dapur akan diedarkan hari ini secara berperingkat sebelum misi kemanusiaan kali ini berakhir.

Terdahulu, rombongan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka jam 11.50 waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) kelmarin, ditahan pihak berkuasa tempatan selama sejam.

Menurut Zulkifli, perjalanan pada awalnya lancar, namun berlaku sedikit salah faham dan beberapa bagasi rombongan yang mengandungi bekalan ubat-ubatan ditahan pihak berkuasa lapangan terbang berkenaan.

“Dua orang ahli misi dan visa mereka ditahan pihak berkuasa untuk soal siasat tujuan kedatangan ke negara ini. Semasa proses berkenaan, berlaku sedikit salah faham apabila pihak berkuasa menyangka tujuan datang ke negara ini berkaitan dengan pemerdagangan manusia.

“Bagasi mengandungi ubat-ubatan juga ditahan untuk kepastian selepas sejam soal siasat semuanya dilepaskan apabila menyebut misi berkenaan atas nama Muslim Care.

“Memang mengikut prosedur operasi standard (SOP), ubat-ubatan jika banyak kena isytihar dan alhamdulillah kami bernasib baik mendapat kebenaran khas daripada pihak kastam apabila membuat rayuan atas misi kemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, dugaan kecil itu sedikit pun tidak mematahkan semangat dan tujuan asal rombongan misi untuk membantu etnik Rohingya yang berada di kem penempatan sementara di sekitar Teknaf.

Sementara itu, sepanjang perjalanan Persatuan Juruterbang Bangladesh Airlines melalui Setiausaha mereka Mukassit Hossain turut menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan yang dilakukan Malaysia terutama Muslim Care itu.

“Kami bangga kamu sanggup datang memberikan bantuan kepada pelarian di sini. Kami menyokong usaha kalian dan semoga ia membuka mata lebih banyak pihak lain untuk sama-sama membantu pelarian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:46 AM