GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP


SEBANYAK 193 kes dadah dicatatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membabitkan remaja seluruh negara bermula Januari hingga Jun lalu.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, statistik itu lebih baik berbanding sepanjang tahun lalu, iaitu 826 kes dadah dilaporkan membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun, namun kerjasama semua pihak diperlukan bagi membanteras masalah berkenaan.

“Hasil kajian kami mendapati kurangnya pengawasan ibu bapa antara punca remaja terjebak dengan pelbagai jenayah termasuk kebakaran di pusat tahfiz dan kemalangan maut membabitkan basikal lajak.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan mengawasi anak masing-masing bagi mengelak mereka terjebak dengan penyalah gunaan dadah, jenayah atau terpengaruh dengan rakan sebaya.

"Manakala statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mencatatkan 5,944 kes jenayah membabitkan remaja sepanjang tahun lalu dan 2,784 kes sejak Januari tahun ini hingga Julai lalu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MCPF bersama Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.


MOHD Khalil (tiga kiri) beramah mesra dengan Lam Thye (dua kanan) dan delegasi MCPF ketika kunjungan hormat di IPK Johor. FOTO Hairul Anuar Rahim

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Lee berkata, antara jenayah dilakukan remaja termasuk mencuri, mencuri motosikal, rogol, samun berkawan tanpa senjata, curi ragut dan pecah rumah.

Menurutnya, pertemuan itu bagi mengeratkan hubungan MCPF bersama polis dan merangka pelbagai program cegah jenayah di sekolah dan townhall bersama penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 7:11 PM