BANGKAI anak gajah jantan yang ditemui di Dumpas. FOTO ihsan JHL
Nasrawati Syarifuddin


JABATAN Hidupan Liar (JHL) Sabah mengesahkan kematian gajah pygmy di Dumpas,Tawau, bukan disebabkan aktiviti pemburuan haram.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, hasil bedah siasat mendapati gajah berkenaan dipercayai dijangkiti parasit pada usus dan perut.

"Ketika siasatan dijalankan, pihak kami mendapati usus dan perut gajah sudah dijangkiti parasit.Beberapa lubang turut ditemui pada badan bangkai gajah berkenaan akibat jangkitan penyakit.

"Selain itu, tiada sebarang unsur jenayah yang dilakukan oleh pemburu haram sehingga mendatangkan kematian pada gajah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan secara terperinci juga masih dijalankan berhubung kematian gajah berkenaan kerana kebanyakan organ dalaman sudah rosak sehingga menyukarkan penyelidik mengenal pasti punca sebenar.

"Kemungkinan kematian boleh berpunca daripada baja yang ditabur pada ladang kelapa sawit atau racun yang disembur pada rumput di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, punca secara lebih terperinci berkaitan kematian masih dalam siasatan dan penyelidik juga menghadapi kesukaran kerana organ dalaman sudah rosak,"katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September lalu di kawasan Dumpas.

Hasil pemeriksaan awal pihak JHL mendapati anak gajah itu masih mempunyai gading dan tidak ada kecederaan pada luaran tubuh.

Berita berkaitan:

Angkara pemburu haram?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 11:14 AM