Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


GRADUAN Kolej Vokasional diperintah membayar denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, Januari lalu.

Tertuduh Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, menukar pengakuan kepada bersalah semalam, sebelum disabit hukuman hari ini, di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil, 10.15 malam, 25 Januari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Janariah Mustafa, merayu hukuman diringankan atas alasan insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan.

"Saya pohon denda seminimum mungkin dan memohon mahkamah untuk melepaskan Orang Kena Saman (OKS) dengan Bon Berkelakuan Baik di bawah Seksyen 173A dan 294 Kanun Prosedur Jenayah," kata Janariah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Nurul Khairiyah Samsudin, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit, berikutan proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah selain kes berkenaan bukan pertama di Melaka dan Malaysia.

Selepas mendengar kedua-dua hujah dan rayuan, Norma memerintahkan tertuduh membayar denda RM70,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 12:44 PM
Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, (kiri) diperintah membayar denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen, Januari lalu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan