Najib melancarkan Unit Tambahan AHB turut bersama Menteri Kewangan II , Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
Najib melancarkan Unit Tambahan AHB turut bersama Menteri Kewangan II , Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hafiz Ithnin


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan 500 juta unit dana tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), menjadikan jumlah keseluruhan saiz dana kepada empat bilion unit.

Penambahan saiz dana itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat Bumiputera untuk berkongsi pemilikan berfaedah ke atas pasaran hartanah di lokasi utama di serata Malaysia.

Beliau percaya sambutan yang menggalakkan itu menunjukkan bahawa AHB telah mula mendapatk epercayaan para pelabur berikutan pulangannya yang konsisten dan kompetitif.

“Enam tahun yang lepas iaitu pada tahun 2010, saya sendiri telah merasmikan dana asal AHB sebanyak satu bilion unit. Beberapa tahun kemudian, saiznya telah ditingkatkan sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2013 lalu menjadikan jumlah keseluruhan dana AHB pada masa itu sebanyak 2 bilion unit.

“Tahun lepas pula, sebanyak 1.5 bilion unit lagi dilancarkan. Malah, saya difahamkan unit-unit ini sudah habis dilanggan dalam tempoh kurang daripada setahun,” katanya dalam ucapan majlis pelancaran berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan skim AHB adalah salah satu daripada Agenda Bumiputera yang dilaksanakan oleh Kerajaan yang juga telah dijadikan sebagai satu Agenda Nasional.

Najib berkata bagi menggalakkan lagi penyertaan pelabur-pelabur muda dalam AHB, pihak Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera bersetuju untuk memberi insentif 50 unit percuma untuk setiap Akaun Remaja.

“Peluang ini dibuka kepada 200,000 Akaun Remaja baru yang pertama bermula pada 2 Oktober ini. Saya menyeru ibu bapa agar dapat merebut peluang ini dengan membuka akaun-akaun AHB untuk anak-anak mereka.

“Saya difahamkan bahawa Akaun Remaja ini adalah untuk kanak-kanak yang berumur tiga bulan ke atas sehingga di bawah 18 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 1:10 PM