ROZIAH peroleh geran HIP RM200,000 pada majlis penyerahan .

Johor Bahru: Tekad seorang kerani pos berhenti bekerja lapan tahun lalu membuahkan hasil apabila dia kini bergelar usahawan berjaya.

Pemilik syarikat yang mengusahakan kerepek Sara Ogy beroperasi di Parit Sulong, Batu Pahat, Roziah Ikhsan, 50, tidak menyesal berhenti kerja yang menjanjikan gaji bulanan tetap kerana meminati bidang keusahawanan.

Dia akui, segala yang dimiliki kini adalah hasil kesungguhannya mencari ilmu untuk menceburi bidang perusahaan berkenaan.

Pada mulanya, dia tidak yakin tetapi selepas mendapat sokongan suami yang juga pesara bank, Jumaat Jalil, 63, dia merangka dan memberi pandangan dalam bidang perniagaan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Alhamdulillah, saya belajar semua jenis rempeyek, juga belajar membuat roti, biskut dan kek dengan menghadiri kelas persendirian.

“Saya perlu tahu sendiri ramuan supaya perusahaan lebih maju dan mudah untuk kita berkongsi ilmu dengan pekerja,” katanya yang mendapat geran Produk Berimpak Tinggi (HIP) Usahawan Industri Asas Tani bernilai RM200,000 pada Majlis Penyerahan Mesin dan Bantuan Program Galakan Usahawan (PGU) Jabatan Pertanian Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) di sini.

Menceritakan rahsia kejayaan sepanjang tujuh tahun ini, Roziah berkata, sebagai seorang Islam dia sentiasa memelihara apa yang wajib dan mengamalkan solat sunat Dhuha.

Perkongsian ilmu bersama pengusaha lain juga penting kerana agama menggalakkan perkongsian ilmu dan tidak kedekut dengan apa yang dimiliki.

“Ada juga yang bertanya, tidak takutkah berkongsi ilmu kerana mungkin nanti perniagaan terjejas disebabkan pesaing? Saya jawab kenapa perlu takut kerana Allah menetapkan rezeki masing-masing.

“Semakin banyak kita memberi, insya-Allah lebih banyak yang kita akan dapat. Kena sentiasa istiqamah dalam melakukan kerja dengan ikhlas.

“Sepanjang tujuh tahun ini, ada tiga pekerja saya yang sudah berhenti kerja dan membuka perniagaan kerepek sendiri. Saya galakkan mereka berbuat demikian kerana ia boleh menampung permintaan rempeyek dan menggalakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya yang kini mempunyai 16 pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 6:53 AM