Bangkai penyu ditemui orang awam di Pulau Mabul. FOTO ihsan Joe Starzz
Nasrawati Syarifuddin


TUJUH lagi bangkai penyu ditemui orang awam di Pulau Mabul, Semporna, 10.51 malam tadi.

Seorang lelaki yang memuat naik video secara langsung dalam Facebooknya, Joe Starzz memberitahu bangkai penyu itu diikat antara satu sama lain dan hanyut ke kawasan berhampiran resort pulau itu.

Perut bangkai penyu itu juga terburai dan dia bersama rakan cuba membawa bangkai berkenaan ke kawasan yang jauh daripada tumpuan pelancong.

“Saya sudah 11 tahun bekerja di resort ini dan ini pertama kali saya melihat bangkai penyu akibat tindakan individu tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuugu berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung penemuan bangkai penyu terbabit.

“Empat pegawai JHL dari Semporna sudah diarahkan ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Saya juga sudah arahkan anggota JHL dari daerah lain di negeri ini untuk ke Semporna bagi menjalankan operasi secara besar-besaran,” katanya.

Menurut beliau, suspek kes sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat sekiranya bukti kukuh diperoleh.

“Suspek kini dalam perhatian dan mengambil masa untuk ditahan kerana suspek tidak menetap di sesuatu kawasan dan menjalankan kegiatan haram itu di tengah laut saja.

“Kes ini semakin serius kerana ia membabitkan hidupan marin yang semakin pupus selain menjadikan haiwan dilindungi sebagai cara mendapatkan wang,” katanya.

Tiga hari lalu, kira-kira 100 bangkai penyu hijau ditemui di kawasan semak berhampiran pantai Kampung Pantau-Pantau, Kampung Amboh-Amboh dan Kampung Sampilan di Pulau Bum-Bum, Semporna.

Maklumat yang dikumpul mengesyaki pemburuan haram itu dilakukan oleh Palauh (kaum nomad yang tinggal dalam bot).

Berita berkaitan

Buru, jual isi penyu

Palauh punya angkara

'Kenapa perkara sebegini boleh berlaku?'

'This is bad for all', kata pemilik foto

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:42 PM