KHIDMAT pemeriksaan motosikal percuma oleh peserta GiatMARA sempena Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Kampung Cokro.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Batu Pahat: Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) Malaysia memperuntukkan lebih RM200,000 untuk memeriksa dan membaik pulih pendawaian elektrik di 700 rumah keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar negeri Johor bagi membantu mencegah kebakaran.

Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dana itu membabitkan bantuan di empat lokasi yang dikunjungi pihaknya sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di negeri terbabit bermula Khamis hingga kelmarin.

Kata Dr Shamsul Anuar, program bantuan itu dijayakan dengan kerjasama GiatMARA menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Menerusi program berkenaan, sistem pendawaian di rumah keluarga terpilih akan diperiksa dan jika wujud sebarang wayar atau fius rosak, ia akan diganti baru secara percuma.

“Inisiatif itu adalah komitmen dan langkah kerajaan dalam usaha mencegah kes kebakaran membabitkan kediaman,” katanya ketika ditemui pada program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Ayer Hitam, semalam.


DR Shamsul Anuar (tengah) meluangkan masa melawat Latinah yang terlantar sakit sempena Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Ayer Itam.

Sementara itu, Shamsul berkata, BiKUM turut memperuntukkan RM210,000 bagi membantu pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 2,100 pelajar di empat bahagian UMNO di Johor.

Kata beliau, bantuan itu disalurkan bagi membantu pelajar yang tergolong dalam keluarga berpendapatan rendah.

“Kami berharap bantuan ini dapat memberi manfaat kepada pelajar sekolah sekali gus membantu memupuk amalan menabung untuk pendidikan masa depan.

“Pendidikan menjadi keutamaan dan ini antara cara kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.

Terdahulu, rombongan BiKUM turut menziarahi Latinah Munawan, 80, yang diserang angin ahmar di Kampung Parit Kangkar, Ayer Hitam.

Pada program sama, lebih 200 penduduk berpeluang mendapatkan khidmat servis motosikal percuma dengan kerjasama Giat MARA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:25 AM