Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


PEJABAT Daerah Kuala Pilah akan mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi bagi membincangkan kaedah menangkap kerbau liar yang berkeliaran di daerah ini, minggu depan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah Shahrul Nizam Salleh berkata, dianggarkan kira-kira 40 kerbau liar dikesan berkeliaran di kawasan kampung dan mengancam penduduk.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta polis, pada 9 Oktober ini.

Ia susulan kejadian Mohd Shafat Aminurdin, 22, yang meninggal dunia akibat ditusuk tanduk kerbau di perut ketika mencari lembu ternakan di Kampung Mungkal Seberang pada 17 September lalu.

Dalam kejadian 1 pagi itu, rakan arwah, Mohd Azren Shah Yazif, 27, patah tangan kanan dan cedera kaki kiri akibat diserang kerbau liar itu.

"Hasil pemeriksaan dianggarkan 40 kerbau liar dan tidak bertuan berkeliaran. Penduduk memaklumkan haiwan itu agak agresif dan membahayakan keselamatan.

"Oleh itu, kita akan membincangkan mengenai cara tangkapan yang boleh dibuat sama ada menggunakan ubat pelali atau jerat termasuk mencari lokasi baru untuk menempatkan haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis kepada pemilik haiwan ternakan sekitar kawasan berkenaan supaya meletakkan haiwan mereka di dalam kandang sebelum operasi dilakukan.

Harian Metro pada 20 September lalu melaporkan, arwah dikejar dan ditanduk haiwan berkenaan sehingga meninggal dunia.

Mohd Shafat maut di tempat kejadian kerana kecederaan di perut akibat ditusuk tanduk haiwan berkenaan.

Berita berkaitan

'Tandukan maut'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 4:17 PM