Mohd Sabran Md Sani


POLIS Johor berjaya menahan seorang pegawai sebuah institusi kewangan di negeri itu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan barangan gadaian emas milik pelanggan dengan anggaran kerugian berjumlah RM3.46 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada jam 11.30 malam pada 28 September lalu susulan aduan laporan berkaitan pecah amanah dilakukannya.

“Polis Johor menerima laporan itu pada jam 10.23 malam itu, 28 September lalu berkaitan penyelewengan barangan gadaian emas pelanggan membabitkan pegawai institusi kewangan tempatan dengan nilai RM3.46 juta.

“Tindakan susulan dilakukan dengan segera terhadap laporan itu sebelum berjaya memberkas suspek di sekitar bandaraya Johor Bahru," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Katanya, hasil daripada tangkapan itu, polis berjaya menemui semula dan merampas barang kemas bernilai RM2 juta.

“Barang kemas terbabit digadai oleh suspek di premis-premis pajak gadai dan institusi kewangan sekitar Johor Bahru dan Melaka," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan pecah amanah.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda," katanya.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Johor Bahru esok.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan kepada institusi dan syarikat supaya membuat pemeriksaan yang ketat terhadap pekerja mereka terutama membabitkan transaksi kewangan dan barangan berharga.

“Mereka juga perlu tegas dalam kawalan prosedur kerja, pengauditan syarikat dan sebagainya.

“Ia penting supaya tidak mudah berlaku kejadian kes pecah amanah jenayah membabitkan kakitangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 10:19 PM