Produk kecantikan disyaki tiruan dirampas KPDNKK dalam serbuan di pusat borong terkemuka di Klang. FOTO Mohd Asri Saiffudin Mamat
Produk kecantikan disyaki tiruan dirampas KPDNKK dalam serbuan di pusat borong terkemuka di Klang. FOTO Mohd Asri Saiffudin Mamat


SEJUMLAH 5,984 produk kecantikan dipercayai tiruan bernilai RM72,000 dirampas pihak berkuasa dalam operasi di pusat pemborong terkenal di Bukit Tinggi, Klang hari ini.

Antara produk kecantikan yang dirampas ialah pelembap bibir, topeng kecantikan muka dan krim wajah membabitkan jenama antarabangsa.

Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Mohd Zarif Anwar Mohd Ali berkata, rampasan produk kecantikan itu membabitkan empat premis termasuk pembekal yang dipercayai menjual serta membekal barangan tiruan menggunakan beberapa jenama terkenal.

Beliau berkata, dalam operasi mulai 1 tengah hari tadi, pihaknya turut menahan empat wanita yang juga pekerja di empat premis berkenaan untuk membantu siasatan.

"Tiga daripada mereka warga tempatan manakala seorang lagi warga Indonesia. Kami akan menahan mereka sehingga majikan masing-masing tampil mengikat jamin mereka," katanya.

Siasatan awal mendapati produk berkenaan mempunyai perbezaan harga, bungkusan serta logo berbanding produk asli.

"Semua barangan ini dijual pada harga 40 peratus lebih murah berbanding produk asal. Turut dikesan premis menjual produk yang disyaki tiruan dengan harga sama seperti produk asli," katanya.

Beliau berkata, semua produk itu dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 4:55 PM