MD Azhan
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Syarat mengemas kini alamat bermastautin ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bukan untuk menyusahkan bakal pengantin, sebaliknya mengelakkan berlaku pemalsuan maklumat.

Pengarahnya Md Azhan Samat berkata, perkara itu merujuk kepada arahan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) Negeri Melaka 2015 yang mula dikuat kuasakan sejak Januari tahun lalu.

“Dalam arahan itu sudah jelas dinyatakan dua perkara iaitu pasangan ingin berkahwin di negeri ini (Melaka) hendaklah bermastautin di sini tidak kurang daripada tiga bulan.

“Manakala, syarat kedua adalah alamat pemohon mestilah sama dengan yang tertera pada kad pengenalan, jika sebaliknya individu terbabit disarankan menukar alamat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian untuk memberikan penjelasan mengenai itu berkenaan yang tular menerusi laman sosial Facebook sejak minggu lalu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati netizen.

Md Azhan berkata, peraturan itu dikuat kuasa bagi mengelak berlaku pemalsuan maklumat pengantin lelaki dan perempuan yang dikhuatiri akan menimbulkan masalah selepas mereka bernikah.

“Mengikut adat, pada kebiasaannya permohonan akan dilakukan oleh pasangan perempuan mengikut alamat bermastautin dan lokasi majlis pernikahan akan dilangsungkan.

“Sekiranya pasangan perempuan sudah menukar alamat tempat kelahirannya iaitu di Melaka mengikut tempat terkini bermastautin, dia perlu mengemaskini semula alamat di negeri ini untuk membuat permohonan pernikahan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga sudah mengadakan perjumpaan dengan JPN bagi membincangkan dan mendapatkan kebenaran untuk JAIM mengakses sistem My Identity bagi tujuan semakan alamat terkini sudah dikemaskini pemohon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 8:42 AM