ANGGOTA KPDNKK memeriksa produk jenama tiruan di sebuah pusat beli-belah di Pudu.
HM Digital

Kuala Lumpur: Syurga bagi barangan jenama Chanel terkenal cetak rompak. Itu antara kegiatan haram dilakukan beberapa premis yang menjual produk tiruan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Pudu, di sini.

Pusat perniagaan itu bagaimanapun diserbu sepasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum barang jenama Chanel tiruan dianggarkan bernilai RM23,309 dirampas pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, operasi dilakukan membabitkan 16 pegawai dengan bantuan anggota KPDNKK Putrajaya.

“Operasi menyasarkan premis yang menjual barang berjenama tiruan selepas mendapat aduan daripada pemilik asal cap dagang.

“Operasi dilakukan di empat premis dan selepas pemeriksaan kami mendapati 2,914 unit minyak wangi dan aksesori seperti kerongsang klip rambut jenama Chanel dijual di kedai itu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran wakil pemilik cap dagang membantu pihaknya membuat pengecaman produk yang menggunakan label asal jenama terkenal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 9:09 AM