BERNAMA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyita RM29 juta lagi, pada siasatan terbaru mengenai penyelewengan dana oleh sebuah kementerian di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad membuat pendedahan itu pada ucapannya sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan kali ke-9 di sini.

“Semalam, kami telah menyita lebih RM150 juta dalam akaun bank, dalam kes penyelewengan terbaru di Sabah dan saya baru saja diberitahu tadi, RM29 juta lagi dibekukan hari ini,” katanya.

Semalam, lebih RM150 juta wang tunai dirampas pada operasi dijalankan pegawai penyiasat SPRM di 15 lokasi di Sabah.

Bagaimanapun, SPRM masih belum mendedahkan nama kementerian berkenaan.

Sementara itu, pada ucapannya, Dzulkifli juga mendedahkan, jumlah wang rasuah yang disita dan yang ditemui semula adalah mengejutkan.

“Pada 2015, SPRM merampas RM3.9 juta manakala tahun lepas (2016), RM4.95 juta disita.

“Pada tahun ini, sehingga September 2017, RM21.4 juta dirampas. Jumlah ini mencerminkan kejayaan SPRM iaitu menyaksikan peningkatan hampir 400 peratus berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha penguatkuasaan yang berkesan.

“Pencapaian SPRM ini disumbangkan oleh peningkatan kesedaran, pengaruh dan kerjasama yang cemerlang dengan rakan kongsi kami, masyarakat keseluruhannya.

“Bagaimanapun, pencapaian ini tidak boleh menjadikan kami lupa diri dan kami tidak boleh memperlahankan usaha penguatkuasaan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 7:01 PM
Digital NSTP Subscribe