Salman Hamat


Alor Gajah: Meskipun hidupnya kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan, kanak-kanak menghidap cerebral palsy, Nur Medina Sofia Hairul Nizam, 2, sentiasa menunjukkan tindak balas positif setiap kali menghadiri sesi fisioterapi di Hospital Melaka.

Ibunya, Siti Zuhaini Mohd Zainol, 32, berkata, dia dan suami, Hairul Nizam Uyop, 37, berasa amat lega dan gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Katanya, sebagai ibu bapa, mereka akan mendapatkan nasihat daripada doktor, mengamalkan panduan penjagaan kanak-kanak menghidap cerebral palsy dan tidak pernah terlepas menghantar Nur Medina Sofia menjalani sesi fisioterapi.

“Walaupun dia masih kecil, tetapi saya dan suami amat kagum dengan semangat ditunjukkan Nur Medina Sofia. Kami berasa teruja setiap kali lihat dia menggerakkan anggota badan ketika sesi fisioterapi.

“Saya dan suami akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan kesihatan Nur Medina Sofia pada tahap terbaik memandangkan dia tidak boleh terdedah kepada persekitaran kerana mudah terkena jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah, di sini, semalam.


MAS Ermieyati (dua dari kanan) meluangkan masa melawat Nur Medina Sofia sambil diperhatikan Siti Zuhaini (tiga dari kanan). FOTO Khairunisah Lokman

Terdahulu, pasangan itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, suami isteri khasnya pasangan muda perlu diberi pendedahan mengenai cara penjagaan bayi dan kanak-kanak yang berisiko tinggi terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan jangkitan kuman.

“Contoh dalam kes ini, ibu bapa Nur Medina Sofia bertindak awal dengan membawa anak mereka ke hospital untuk menjalani pemeriksaan selepas dia meragam dan enggan menyusu selama empat jam. Jika lewat diberi rawatan awal, mungkin keadaan anak ini lebih serius,” katanya.

Harian Metro pada Selasa lalu melaporkan derita Nur Medina Sofia yang terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan serta tidak dapat bergerak aktif akibat masalah cerebral palsy iaitu gangguan gerakan kekal.

Mata kanak-kanak itu juga tertutup rapat seolah-olah nyenyak tidur walaupun dia sebenarnya terjaga.

Berita berkaitan

Mengerang sakit sambil mata tertutup

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:19 AM
KEADAAN Nur Medina Sofia yang terlantar dirumah keluarganya di Taman Bidara Permai. FOTO Khairunisah Lokman