Penerima Anugerah Tokoh dan Anugerah Khas (dari kiri), Abdul Rahman, Rusli, Che Min, Nabila Shila Lama dan Awaludin pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1439/2017 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). FOTO Nurul Shafina Jemenon
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


BEKAS Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan yang juga bekas Pengarah JAWI Datuk Che Min Che Ahmad dipilih penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2017 peringkat Wilayah Persekutuan.

Che Min berkata, dia tidak menyangka kerja dakwah dijalankan selama ini mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sejujurnya saya belum puas berkhidmat untuk mengembangkan dakwah Islam selepas diminta bertanding di Parlimen Pasir Puteh dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya sebelum bersara,” katanya dalam Sambutan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam JAWI, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berpengalaman luas dalam pembangunan syiar Islam di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan apabila bertanggungjawab menguruskan pembinaan Pusat Latihan Sarawak, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, Darul Quran Kuala Kubu, pembinaan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan pembinaan PUSRAWI.

Beliau juga bertanggungjawab menguruskan Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan Wilayah Persekutuan serta tanah wakaf diwartakan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain itu, turut diumumkan empat penerima Anugerah Khas Maal Hijrah iaitu mantan Timbalan Pengarah Operasi KAGAT Kolonel (B) Rusli Kadir, bekas, guru besar Abdul Rahman Lamudin, mualaf, Nabila Shila Lama Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Awaludin Jadid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 3:58 PM