Mahdzir melihat tangan Saad Ahmad, 60, (kiri) yang sakit pada program Ziarah Kasih di Padang Sanai, Kuala Nerang. FOTO Norazura Abdul Rahman
Mahdzir melihat tangan Saad Ahmad, 60, (kiri) yang sakit pada program Ziarah Kasih di Padang Sanai, Kuala Nerang. FOTO Norazura Abdul Rahman
Aizat Sharif

TIADA keperluan untuk menubuhkan sekolah khas menempatkan pelajar bermasalah dari segi disiplin di negara ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia tidak praktikal dengan keadaan semasa kerana sudah pun wujud pelbagai peraturan dan hukuman untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah terutama mereka yang sering ponteng sekolah.

“Hendak dibuka sekolah sekolah semata-mata untuk menempatkan pelajar yang bermasalah ini, saya rasakan tidak perlu buat masa ini kerana ia tidak praktikal.

“Selain itu, kita sudah pun mempunyai pelbagai hukuman mengikut peraturan tertentu sebelum seseorang pelajar didapati bermasalah disiplin dibuang sekolah.

“Kita memberikan amaran secara berperingkat sebelum memanggil ibu bapa mereka untuk tujuan penjelasan atas ketidakhadiran anak mereka itu,” katanya selepas Program Ziarah Kasih di kawasan Padang Sanai, Kuala Nerang, hari ini.

Tambahnya, kerajaan menerusi kementeriannya sudah pun mewujudkan pelbagai kaedah serta program bersifat pembelajaran menerusi kemahiran pelajar bermasalah.

“Program seperti Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) membolehkan pelajar bersekolah dua hari dan menjalani latihan industri tiga hari di sektor industri yang disertai mereka.

“Malah, ia bertujuan mengelak keciciran pelajar selepas tingkatan tiga. Program ini bukanlah untuk pelajar bermasalah disiplin semata-mata sebaliknya mampu dimanfaatkan semua pelajar yang lemah dalam pelajaran tetapi mempunyai kecederungan dalam kerja kemahiran.

“Selain itu, penubuhan Kolej Vokasional membolehkan mereka mendapat Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta diploma dalam bidang kemahiran,” katanya.

September lalu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Halim Ishak mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sekolah pemulihan khas untuk pelajar bermasalah.

Pada majlis berkenaan, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap melawat dan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan serta wang kepada asnaf yang uzur dan memerlukan di beberapa kampung sekitar kawasan Padang Sanai.

Program Ziarah Kasih itu bertujuan menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 5:54 PM