X
DATUK Seri Acryl Sani menunjukkan DVD/VCD yang dirampas dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang Isnin, lalu. FOTO Yusni Ariffin
DATUK Seri Acryl Sani menunjukkan DVD/VCD yang dirampas dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang Isnin, lalu. FOTO Yusni Ariffin
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


SINDIKET yang menjadikan rumah teres di sekitar Lembah Klang dan Selangor sebagai lokasi memproses cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak berjaya ditumpaskan dalam lima serbuan berasingan Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis menahan lima suspek dan merampas 100,688 keping VCD dan DVD cetak rompak serta 23 mesin salinan dengan nilai semua rampasan lebih RM1 juta.

Menurutnya, suspek berusia 35 hingga 48 tahun itu mempunyai peranan masing-masing untuk memasarkan DVD cetak rompak di sekitar Lembah Klang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini menghasilkan 1,000 keping VCD/DVD sehari dan menjualnya pada harga RM8 bagi jenis biasa dan RM20 untuk DVD Blue Ray.

"Sindiket ini mendapatkan bekalan VCD/DVD kosong dari syarikat pembekal dan memprosesnya tanpa Sijil B di sebuah rumah teres di bandar ini. VCD dan DVD yang siap diproses akan disimpan di beberapa rumah yang dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan kepada kedai menjual VCD dan DVD serta peniaga pasar malam.

"Penghantaran VCD/DVD ini adalah mengikut permintaan pelanggan dengan pembayaran dilakukan dalam talian dan serahan tangan, manakala penghantaran dibuat melalui syarikat penghantaran," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Acryl berkata, kegiatan pengedaran dan penjualan DVD/VCD cetak rompak ini, walaupun semakin berkurangan tetapi masih berleluasa kerana ia tidak dilakukan secara terang-terangan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, polis turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama milik suspek.

"Suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki VCD/DVD yang tidak mempunyai Sijil B, Seksyen 11(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 9:34 PM