LEE maut dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Samalaju.
HM Digital

Bintulu: Akibat kepala treler dipandu terbuka secara mengejut, seorang lelaki maut digilis kenderaan dipandunya itu selepas tercampak keluar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Samalaju, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 4 petang, treler dipandu Lee Ngan Cheang, 57, dikatakan bergerak sebelum tiba-tiba bahagian kepala kenderaan itu terbuka.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa terpelanting keluar melalui cermin hadapan kenderaan berkenaan.

Menurutnya, selepas tercampak dari treler berkenaan, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri sebelum digilis tayar treler yang sedang bergerak ketika itu.


ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Akibat kemalangan berkenaan, mangsa parah di kepala dan badan. Pasukan paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Masalah teknikal mungkin punca kepala treler itu terbuka, namun siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, semalam.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui tersepit di bawah tayar dan bomba mengeluarkan mayat mangsa menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Klinik Nyalau Samalaju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:59 AM