Bot nelayan dan suspek dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan. - - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Petrol dalam tong kecil dan LPG yang ditemui dalam ruang kargo kapal. - Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah mematahkan cubaan empat lelaki menyeludup keluar barang kawalan termasuk 2,200 liter petrol RON95 bernilai RM13,535 selepas menahan dua bot nelayan di perairan Pulau Berhala, Sandakan, petang semalam.

Pada kejadian kira-kira 5.30 petang itu, anggota PPM turut menahan suspek berusia 32 hingga 63 tahun dipercayai juragan dan kru bot terbabit.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bergegas menjalankan pemantauan di kawasan perairan berkenaan dan mengesan dua kapal nelayan yang mencurigakan.

“Bot PPM memintas bot itu dan melakukan pemeriksaan di dalam kapal berkenaan. Kita dapati ada empat individu, dengan dua bapa dan anak warga tempatan, manakala dua lagi lelaki Filipina pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13).

“Pemeriksaan di ruang kargo kedua-dua bot membawa penemuan pelbagai barangan kawalan, termasuk dua tong besar 400 liter petrol RON95, 60 tong kecil 1,800 liter petrol RON95, 36 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 23 kotak minyak masak.

"Semua barangan itu dipercayai cuba diseludup ke Filipina,” katanya.

“Semua barangan yang dirampas dianggar bernilai bernilai RM421,170 termasuk kedua-dua bot berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:40 PM