GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DATUK bersama cucu lelakinya dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus deras Sungai Batang Sadong di Kampung Tegelam, Simunjan, petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Kajim, 70, ingin mengambil cucunya Kalawin Jefferi, 27, di Kampung Lubok Pungor dengan menggunakan bot untuk menyeberang sungai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketika warga emas itu berada di tengah sungai berkenaan dan menghala ke kawasan cucunya menunggu, bot yang dinaiki terlanggar tunggul kayu.

Menurutnya, kejadian itu disedari cucunya bersama beberapa rakan yang lain sebelum bergegas terjun ke sungai untuk menyelamatkan warga emas terbabit.

"Namun, arus sungai yang deras menyebabkan warga emas bersama cucunya terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan dan mereka tidak dapat berenang ke tebing.

"Rakan lelaki terbabit yang turut cuba membantu, berjaya berenang ke tebing sungai sebelum memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung," katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan menerima panggilan kecemasan pada 11.14 malam dari anggota Balai Polis Simunjan.

Katanya, operasi pencarian hanya mula dijalankan bermula 8 pagi ini dan radius pencarian diperluaskan pada jarak empat kilometer hulu dan hilir sungai berkenaan.

"Setakat ini, operasi pencarian masih giat dijalankan dengan bantuan penduduk kampung dan tiada sebarang petunjuk positif ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:45 PM